CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, 30 October 2012

PEMBELAJARAN BAHASA MELALUI NYANYIAN

 
 
Memang tidak dinafikan bahawa kanak-kanak prasekolah mempunyai daya kreativiti yang tinggi. Mereka melibatkan diri secara aktif di dalam aktiviti yang melibatkan kemahiran bahasa dan emosi mereka seperti aktiviti nyanyian. Melalui video lagu ini, kanak-kanak prasekolah saya bukan sahaja dapat menguasai penguasaan bahasa melalui kemahiran awal baca iaitu mengenal abjad dan bunyinya serta contoh berdasarkan huruf awal tetapi mereka juga dapat memperkembangkan perkembangan emosi yang positif di samping meningkatkan kemahiran kreativiti dan estetika melalui pergerakan kreatif. Jom, nyanyi ramai-ramai.

Monday, 29 October 2012

VIDEO LAGU TERIMA KASIH CIKGU

 
Video lagu ini dipertonton dan diperdengarkan ketika saya menghadiri Kursus Amalan Menyeronokkan dalam P&P Daerah Johor Bahru pada 29-31 Oktober 2012 di Hotel New York, Johor Bahru yang menunjukkan betapa pentingnya peranan seorang guru dalam mendidik anak bangsa. Bila dengar lagu ini, teringat saya semasa mula-mula melangkah kaki ke tadika dahulu. Betapa besarnya pengorbanan seorang guru dalam memberikan ilmu yang bermanfaat kepada  murid-muridnya. Gurulah yang menyampaikan ilmu pengetahuan dan mengajar  pelbagai kemahiran seperti membaca, menulis dan mengira khususnya guru-guru prasekolah. Kini, apa yang saya pelajari ketika saya mengikuti pendidikan prasekolah / tadika akan saya aplikasikan kepada anak didik saya pula, insyaallah. Terima kasih, cikgu... 


Saturday, 27 October 2012

AKTIVITI MENINGKATKAN KEMAHIRAN BERBAHASA MURID PRASEKOLAH

Aktiviti bercerita adalah merupakan aktiviti yang  saya jalankan di kelas prasekolah semasa aktiviti rutin dan perbualan pagi. Pelbagai bahan bacaan yang disediakan di kelas prasekolah yang dapat digunakan untuk menjalankan aktiviti bercerita ini. Antaranya adalah Buku Cerita Besar yang mengandungi cerita kanak-kanak, kisah-kisah nabi dan kisah-kisah dongeng rakyat. Cerita-cerita ini dapat menarik minat murid untuk mengetahui cerita-cerita tersebut.
 
 
 
Saya juga turut menggalakkan murid-murid untuk mengambil dan membaca bahan-bahan bacaan yang disediakan di kelas prasekolah khususnya pada murid-murid yang sudah boleh membaca ayat-ayat mudah dan cerita-cerita pendek.
 
 
Selain menjadi pencerita, saya juga turut menggalakkan murid-murid untuk mengambil alih peranan sebagai pencerita pada hari tersebut bagi meningkatkan keyakinan diri murid di hadapan guru dan rakan-rakan.
 




Selain itu, penggunaan boneka juga digunakan untuk menjadikannya lebih menarik dan berkesan. Contohnya di dalam cerita haiwan kanak-kanak, penggunaan boneka akan lebih menarik minat murid. Sebelum menjalankan aktiviti bercerita, saya akan meminta murid membaca  dan memahami cerita tersebut terlebih dahulu sebelum meminta mereka menyampaikannya melalui penggunaan boneka di hadapan rakan-rakan yang lain.
 
 
 
 


KEMAHIRAN BERBAHASA MELALUI AKTIVTI BERCERITA


 
Bercerita adalah merupakan satu aktiviti kemahiran berbahasa yang boleh mempromosikan minat dalam mana-mana bahagian kurikulum. Aktiviti bercerita dapat mengembangkan penghargaan dan keseronokan untuk menikmati kesusasteraan, pengayaan bahasa, pelbagai pengalaman, mengembang kemahiran mendengar dan memotivasikan murid-murid membaca.
 
Antara langkah-langkah untuk aktiviti bercerita:
 
a) Sebelum bercerita:
i-Persekitaran yang selesa adalah sangat penting. Jika boleh, kemas satu tempat supaya murid-murid boleh duduk mengelilingi pencerita.
 
ii-Jika guru ialah pencerita, ia mesti menimbangkan perkara-perkara berikut:
  • Pastikan cerita boleh didengar oleh semua murid
  • Pastikan semua murid dapat melihat pencerita, terutama tangan dan muka
  • Bercerita dengan kuat dan jelas dengan ekspresi muka
  • Sekiranya pencerita tidak mahu diganggu, beritahu kepada semua murid-murid supaya tidak bertanyakan soalan sehingga penghabisan cerita
  • Pastikan semua murid memberikan perhatian sebelum cerita itu dimulakan 
iii-Kalau murid diberi peluang untuk bercerita bersama-sama, mereka harus:
  • Diberi maklumat tentang bahagian-bahagian dan urutan cerita itu
  • Diberi peluang berkongsi cerita, peristiwa dalam satu keadaan tidak formal sebagai permulaan kepada pengalaman bercerita yang lebih mendalam
b) Semasa bercerita:
i- Murid-murid harus diberi peluang mencatat nota untuk perbincangan lanjut
ii-Pastikan murid-murid memberi perhatian
iii-Pencerita harus bertentangan mata (eye contact) dengan pendengar dan bertutur secara terus menerus kepada pendengarnya

c) Selepas bercerita:
i-Beri peluang kepada murid untuk memberi rumusan cerita
ii-Meminta mereka berkongsikan nilai yang mereka pelajari daripada cerita tersebut





 
     
     

 

 

 

 

 

 
 

Wednesday, 10 October 2012

PENDEKATAN BELAJAR MELALUI BERMAIN


 

 Pendekatan belajar melalui bermain adalah merupakan salah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dan diaplikasikan di dalam kelas prasekolah selain pendekatan bertema, pendekatan bersepadu dan pendekatan projek. Malah terdapat juga pendekatan lain yang turut diaplikasikan oleh guru prasekolah di dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan dan dapat menarik minat murid prasekolah. Antaranya adalah melalui pendekatan berpusatkan murid, inkuiri penemuan, pembelajaran masteri, pembelajaran konstekstual dan pembelajaran yang berdasarkan kepelbagaian kecerdasan (multiple intelligence).

Belajar melalui bermain adalah merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sangat berkesan kepada kanak-kanak. Ini adalah kerana melalui bermain akan dapat menimbulkan  dan juga mendatangkan keseronokkan serta kepuasan kepada kanak-kanak di dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Melalui bermain juga kanak-kanak akan dapat menguasai perkembangan dan kemahiran bukan sahaja di dalam aspek fizikal bahkan di dalam aspek penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan bahasa.

Menurut Mok Soon Sang di dalam bukunya “Pendekatan dan Strategi Pengajaran “, main merupakan satu teknik mengajar yang memberi peluang kepada murid-murid untuk melakukan aktiviti secara berpura-pura di dalam keadaan yang terkawal. Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah adalah berlandaskan prinsip belajar sambil bermain. Ini adalah kerana bermain adalah merupakan fitrah bagi kanak-kanak.

Menurut “Buku Panduan Guru Pusat Perkembangan Kurikulum (2003)”, belajar melalui bermain adalah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar di dalam suasana yang bebas dan selamat, menggembirakan dan bermakna. Pendekatan belajar melalui bermain dirancang supaya penekanannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana melalui bermain mereka akan gembira dan senang hati membuat penerokaan, penemuan dan pembinaan melalui pengalaman langsung secara semulajadi.

Belajar melalui bermain adalah sangat penting kerana ianya merupakan fitrah semulajadi di mana di dalam proses ini, mereka akan meneroka, membuat inkuiri penemuan dan memperoleh pengalaman langsung secara semulajadi. Ia juga memberi peluang kepada murid untuk belajar di dalam suasana yang fleksibel tanpa kongkongan daripada guru. 

Oleh itu penekanan kepada pendekatan ini akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran itu menggembirakan di samping meningkatkan keupayaan kognitif, keinginan untuk meneroka bagi memenuhi perasaan ingin tahu, menguasai kemahiran motor kasar dan motor halus serta meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif. Pusat Perkembangan Kurikulum telah menggariskan ciri-ciri pendekatan belajar melalui bermain adalah merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan, melibatkan penerokaan dan interaksi kanak-kanak dengan persekitaran, melibatkan percubaan idea kanak-kanak sendiri, memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menumpukan perhatian dan kelonggaran masa bermain.  

Mengikut Vygotsky (1967), main membantu perkembangan bahasa dan pemikiran. Struktur otak akan terbentuk melalui penggunaan simbol dan alat. Main juga memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar. Dalam cara ini kanak-kanak dapat mengawal situasi dan menyesuaikannya di dalam dunia yang sebenar. Mereka dibenarkan untuk memperolehi proses pemikiran yang tinggi melalui bermain.

Jerome Singer (Spodek, 1987)  menganggap “imaginative play” sebagai usaha kanak-kanak menggunakan kebolehan fizikal dan mental mereka dalam menyusun pengalaman. Beliau juga berpendapat bahawa di dalam permainan, kanak-kanak meneroka alam yang boleh menjadikan mereka berkebolehan dalam menghadapi masalah persekitaran dan boleh menjadikan mereka kreatif.

Di dalam dunia pendidikan prasekolah, pendidikan yang dilaksanakan adalah berdasarkan kurikulum yang digunapakai. Dalam konteks prasekolah di Malaysia, khususnya dari perspektif kurikulum, main atau bermain itu bukanlah main yang bebas tanpa perancangan tetapi main yang mempunyai unsur seperti main yang terancang, main yang berstruktur, main yang fleksibel serta main yang memenuhi keperluan kognitif, psikomotor dan afektif. 

             Untuk itu, dalam perancangan dan perlaksanaan bermain melalui belajar, main merupakan perkara penting di dalam merealisasikan aktiviti bermain di dalam pendidikan prasekolah, khususnya dalam membantu perkembangan kanak-kanak dan ianya tidak akan bermakna tanpa perancangan yang teratur.

KEMAHIRAN LITERASI KANAK KANAK DI DALAM PEMBELAJARAN TERAS TUNJANG BAHASA MALAYSIA



Ini adalah contoh kemahiran literasi yang saya jalankan bersama murid-murid saya di kelas    prasekolah di mana pembelajaran teras Bahasa Malaysia  telah saya jalankan melalui aktiviti belajar melalui bermain.


Setelah murid-murid dapat mengenal contoh-contoh dua suku kata terbuka (KVKV), saya menjalankan aktiviti permainan bagi mengukuhkan lagi kefahaman mereka dalam membatangkan dua suku kata terbuka (KVKV). Aktiviti hanya dapat dijalankan setelah murid menguasai kemahiran suku kata terbuka (KV).
 
Perkembangan langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran :
a) Guru menunjukkan contoh perkataan yang mempunyai gabungan suku kata terbuka (KVKV) melalui kad perkatan bergambar
b) Guru membatangkan perkataan (gabungan sukukata) tersebut.

c) Murid membatangkan perkataan (gabungan sukukata) secara individu dan beramai-ramai dengan bimbingan guru.

d) Guru menjalankan aktiviti permainan:

    i) meletakkan dua gegelung hula-hop lebih kurang semeter di hadapan dua orang murid.
    ii) meletakkan objek sebenar / bahan maujud ke dalam hula-hop. Contoh, baju, buku dan sudu.
    iii) Longgokkan pundi kacang berlabel suku kata terbuka (KV) di hadapan murid.



                                                                       
 
 
 
   iv) Murid menamakan objek sebenar di dalam   hula-hop dan membaling pundi kacang yang betul ke dalam hula-hop. Contohnya membaling pundi kacang yang berlabel "ba" dan "ju" ke dalam hula-hop yang men gandungi baju.
 
 v)  Murid menyebut suku kata "ba" dan "ju" dan seterusnya menyebut perkataan "baju".
 vi) Murid yang berjaya membina dua suku kata terbuka berdasarkan objek akan diberikan hadiah dan ganjaran.
 
 
 


Pengajaran dan pembelajaran pada hari tersebut berjalan dengan baik dan lancar di mana murid berasa seronok mengikuti  aktiviti pembelajaran melalui permainan yang bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran literasi mereka bahkan  turut membantu perkembangan fizikal dan emosi yang lebih positif.  







 
 
 
 
 
 




 
 
 
 


 
 





Monday, 8 October 2012

PERKEMBANGAN BAHASA DAN LITERASI MELALUI BERMAIN


PERKEMBANGAN BAHASA DAN LITERASI MELALUI BERMAIN

Vygotsky dalam Roopnarine dan Johnson (2005) berpendapat, proses mental yang lebih tinggi berkembang apabila kanak-kanak membentuk pertuturan semasa melakukan aktiviti fizikal. Sebelum kanak-kanak bertutur, mereka menggunakan alat bagi menyempurnakan tugas setelah mereka bertutur, mereka menggunakan bahasa dalam aktiviti. Tingkahlaku mereka berubah melalui penggunaan bahasa dan aktiviti tersebut. Pada masa yang sama mereka berupaya merancang dan menguasai persekitaran sekeliling mereka. Vygotsky menekankan permainan adalah pilihan kanak-kanak sendiri dan disokong oleh guru ataupun orang dewasa melalui perbincangan dan soal jawab. Melalui bermain, kanak-kanak belajar berkomunikasi, menyesuaikan diri, berinteraksi dengan rakan dan mengenali benda-benda di sekeliling mereka. 

Berdasarkan Teori Piaget, pada peringkat praoperasional (umur 2-7 tahun), kemahiran bahasa kanak-kanak berkembang dengan cepat dan dapat diasah melalui pelbagai aktiviti. Menurut Sufean et al. (2005), kanak -kanak yang berada di prasekolah mengikut Teori Perkembangan Kognitif Piaget berada pada peringkat praoperasionaldan konkrit operasi. Pada peringkat ini, proses pembelajaran tindakan secara mental terhadap sesuatu perkara ataupun objek akan berlaku. Semasa proses ini, kanak-kanak belajar bagaimana menggunakan perkataan dan gambaran untuk mewakilkan objek. Kanak-kanak prasekolah sebenarnya sudah memahami dengan baik tentang bahasa bertulis sebelum mereka belajar membaca dan menulis secara konvensional lagi (Berk, 2008). Kemahiran ini seterusnya boleh diasah melalui pembelajaran dengan menggunakan aktiviti bersesuaian dengan keperluan dan perkembangan mereka. Aktiviti bermain dapat menarik minat kanak-kanak untuk terus belajar konsep literasi awal. Apabila kanak-kanak minat untuk terus belajar, mereka memperolehi kemahiran baru dan kemahiran ini dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak pada jangkamasa panjang (Cristie & Roskos 2009, Almon 2004)

Aktiviti bermain adalah penting dalam pengajaran dan pembelajaran terutamanya bahasa. Christie dan Roskos (2009) berpandangan terdapat hubungan aktiviti bermain dengan persekitaran permainan dalam pemupukan kemahiran literasi. Bahan bacaan bertulis dalam ruang permainan misalnya gerai pizza yang diletakkan papan tanda, menu dan nama pekerja akan dapat meningkatkan kemahiran literasi dengan berkesan. Bukti juga turut menunjukkan persekitaran bermain yang diperkayakan dengan kemahiran literasi akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak tentang fungsi perkataan bertulis, keupayaan mengenal perkataan bertulis, keupayaan menggunakan strategi kefahaman seperti memastikan dan membetulkan sendiri perkataan bertulis yang dilihat.

Aktiviti bermain dapat meningkatkan kemahiran bahasa kanak-kanak melalui beberapa cara. Kajian Williamson dan Silvern dalam Cristie dan Roskos (2009) melihat perkaitan naratif antara proses bermain dengan perkembangan literasi mengesan bagaimana permainan fantasi bertema dapat meningkatkan kefahaman bacaan. Hasil kajian mendapati kanak-kanak yang banyak terlibat dengan aktiviti perbualan permainan meta (meta-play) semasa bermain dapat memahami jalan cerita dengan lebih baik berbanding dengan kanak-kanak yang kurang terlibat aktiviti permainan. Arce (2000) berpandangan bermain benar-benar berlaku apabila kanak-kanak memilih sendiri aktiviti persekitaran yang sesuai dan terdapat pilihan. Oleh itu, kanak-kanak seharusnya diberikan masa yang secukupnya untuk bermain dan bagi mereka dapat menyerap apa yang mereka belajar, mereka seharusnya diberi kebebasan bermain. Apabila kanak-kanak bermain dengan bebas, mereka memilih sendiri apa, bagaimana, dengan siapa dan berapa lama mereka hendak melakukan permainan mengikut kemampuan mereka.

Neuman dan Copple (2004) melihat hubungan bermain dengan kemahiran literasi yang melibatkan simbol, struktur bunyi dan bahan bercetak. Kemahiran bahasa dan literasi dapat dipupuk melalui permainan bunyi bahasa, simbol-simbol dan konsep bahan bercetak. Cristie dan Roskos (2009) juga berpendapat kebanyakan kanak-kanak mampu mengenalpasti perkataan bertulis semasa mereka bermain. Pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui bermain jelas dapat meningkatkan kemahiran bahasa dan literasi kanak-kanak. Persekitaran yang dimanipulasikan, permainan bertema, permainan fantasi dan aktiviti bebas adalah antara permainan bahasa yang berupaya meningkatkan perkembangan bahasa kanak-kanak. Walau bagaimanapun, semasa proses bermain,  kanak-kanak perlu bersosial dan berinteraksi dengan individu lain seperti rakan sebaya atau orang dewasa seperti pengasuh, guru dan ibu bapa untuk bermain. Tanpa rakan sebaya dan individu lain, kemahiran komunikasi kanak-kanak tidak akan berlaku apatah lagi untuk berkembang dengan berkesan.

PERKEMBANGAN POTENSI DAN BAHASA KANAK-KANAK

PERKEMBANGAN POTENSI DAN BAHASA KANAK-KANAK.

Perkembangan potensi kanak-kanak merangkumi aspek fizikal, kognitif, emosi, dan sosial. Manakala perkembangan bahasa mereka pula amat dipengaruhi oleh perkembangan aspek-aspek potensi tersebut. Bagaimanapun, di dalam setiap peringkat perkembangan kanak-kanak,aspek-aspek perkembangan tersebut bukanlah berlaku secara tersendiri tetapi melibatkan semua proses penggabungjalinan dalam bentuk integrasi secara holistik yang menghasilkan proses pertumbuhan kanak-kanak berinteraksi secara aktif dengan persekitarannya.

Maka, perkembangan sesuatu aspek saling mempengaruhi perkembangan aspek yang lain. Sebagai contoh, perkembangan sensori-motor (fizikal) seperti merangkak, duduk, berdiri dan berjalan serta perkembangan otak akan membolehkan kanak-kanak menambah kefahamannya (kognitif) terhadap persekitarannya di samping membolehkannya menyertai aktiviti main sosial, dan secara tidak langsung menggalakkan perkembangan bahasa dan sosio-mosi mereka. Apabila kanak-kanak memikir dan bertindak secara kompeten, orang dewasa pula memotivasi mereka melalui permainan, bahasa dan menunjukkan kegembiraan terhadap pencapaian mereka akan membawa kepada perkembangan sosio-emosi pula, dan denga pengalaman yang diperolehi akan menggalakkan perkembangan potensi dari semua aspek secara keseluruhan. 

Peringkat-peringkat perkembangan potensi dari aspek bahasa.

Peringkat umur lahir-6 bulan
  • melibatkan diri dengan bunyi kukur (cooing)
  • mula menatap dan merenung muka orang yang mengasuhnya (caregiver)
  • memulakan bebelan (babbling)
Peringkat umur 7  bulan-12 bulan
  • perkembangan bebelan merangkumi bunyi lisan dalam bahasa keluarga. 
  • mula memahami erti perkataan
  • menggunakan bahasa bukan lisan (body language)  untuk berkomunikasi 
Peringkat 13 bulan-18 bulan
  • hubungan dengan penjaga lebih baik
  • boleh bermain mengikut turutan
  • menggunakan bahasa bukan lisan (pre-verbal gestures) untuk mempengaruhi tingkahlaku orang lain
  • mula menyebut perkataan pertama 
Peringkat 19 bulan-24 bulan
  •  perbendaharaan kata ditambah kira-kira 200 perkataan
  •  boleh menggabung dua perkataan
Peringkat 2 tahun-awal kanak-kanak
  • kadar perbendaharaan kata bertambah 
  • bahasa ibunda menurut tertib dan gramatis
  • persembahan kemahiran perbualan dengan berkesan
Peringkat 3 tahun-4 tahun
  • menguasai struktur ayat yang mudah
  • kadangkala mencipta ayat tanpa gramatis
  • mengubahsuai kata mengikut umur, jantina, status sosial orang yang berkat
Peringkat 5 tahun-6 tahun (prasekolah)
  • perbendaharaan kata ditambah dengan 2,000-10,000 perkataan 
  • menggunakan banyak struktur gramatis yang kompleks


PENGUASAAN KEMAHIRAN PENGGUNAAN BAHASA

PENGUASAAN KEMAHIRAN PENGGUNAAN BAHASA
Bahasa digunakan untuk mewaklili konsep. Maka, penggunaan bahasa merupakan faktor yang sangat penting untuk membentuk konsep sama ada konkrit ataupun abstrak.
Di dalam Teori Pelbagai Kecerdasan, Gardner (1983), berpendapat bahawa semua insan mewarisi tujuh jenis kecerdasan yang berlainan. Di antaranya  ialah kecerdasan linguistik / verbal. Orang yang mempuyai kecerdasan ini berupaya menggunakan bahasa secara berkesan sama ada secara lisan ataupun tulisan, termasuklah kebolehan memanipulasikan ayat, gaya bahasa dan pengucapannya dengan baik, tepat serta sempurna.
Pakar psikolinguistik Chomsky, (1965 ) di dalam Teori Genetik, mengklasifikasikan tingkahlaku bahasa manusia kepada dua bahagian iaitu kecerdasan linguistik yang diwarisi dan bahasa ekspresi yang dipelajari dari alam sekittar.
Kecerdasan Linguistik adalah diwarisi secara semulajadi kerana manusia bukan sahaja dilahir dengan organ yang boleh mengeluarkan pelbagai jenis bunyi tetapi juga mampu memahami bentuk, intonasi,erti, sususnan dan laras bahasa tanpa dipelajarinya. Setiap kanak-kanak sejak lahir telah mempunyai kecerdasan linguistik walaupun kadarnya berbeza.
Manakala, bahasa ekspresi, mengikut Chomsky adalah merujuk kepada tingkahlaku bahasa yang ditunjukkan oleh individu melalui aktiviti melihat, mendengar dan  menyebutnya dalam alam sekitar tertentu. Mengikut beliau, bahasa ekspresi ini adalah dipelajari khasnya dari persekitaran yang dialami. Justeru itu, di dalam pelbagai jenis kebudayaan dan masyarakat yang beraneka ragam, maka wujudnya pelbagai jenis bentuk dan gaya bahasa di kawasan-kawasan tertentu.
Ringkas kata, kecerdasan linguistik yang berbeza serta bahasa ekspresi yang berlainan sememangnya mempengaruhi pembentukan konsep sama ada konkrit ataupun abstrak. Secara umumnya, pelajar yang mempunyai kecerdasan linguistik yang tinggi dan menguasai bahasa ekspresi dengan sempurna akan dapat mempersepsikan perkaitan ciri-ciri maklumat yang berkenaan dan membentukkan konsep dengan cepat dan tepat.