CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 8 October 2012

PERKEMBANGAN BAHASA DAN LITERASI MELALUI BERMAIN


PERKEMBANGAN BAHASA DAN LITERASI MELALUI BERMAIN

Vygotsky dalam Roopnarine dan Johnson (2005) berpendapat, proses mental yang lebih tinggi berkembang apabila kanak-kanak membentuk pertuturan semasa melakukan aktiviti fizikal. Sebelum kanak-kanak bertutur, mereka menggunakan alat bagi menyempurnakan tugas setelah mereka bertutur, mereka menggunakan bahasa dalam aktiviti. Tingkahlaku mereka berubah melalui penggunaan bahasa dan aktiviti tersebut. Pada masa yang sama mereka berupaya merancang dan menguasai persekitaran sekeliling mereka. Vygotsky menekankan permainan adalah pilihan kanak-kanak sendiri dan disokong oleh guru ataupun orang dewasa melalui perbincangan dan soal jawab. Melalui bermain, kanak-kanak belajar berkomunikasi, menyesuaikan diri, berinteraksi dengan rakan dan mengenali benda-benda di sekeliling mereka. 

Berdasarkan Teori Piaget, pada peringkat praoperasional (umur 2-7 tahun), kemahiran bahasa kanak-kanak berkembang dengan cepat dan dapat diasah melalui pelbagai aktiviti. Menurut Sufean et al. (2005), kanak -kanak yang berada di prasekolah mengikut Teori Perkembangan Kognitif Piaget berada pada peringkat praoperasionaldan konkrit operasi. Pada peringkat ini, proses pembelajaran tindakan secara mental terhadap sesuatu perkara ataupun objek akan berlaku. Semasa proses ini, kanak-kanak belajar bagaimana menggunakan perkataan dan gambaran untuk mewakilkan objek. Kanak-kanak prasekolah sebenarnya sudah memahami dengan baik tentang bahasa bertulis sebelum mereka belajar membaca dan menulis secara konvensional lagi (Berk, 2008). Kemahiran ini seterusnya boleh diasah melalui pembelajaran dengan menggunakan aktiviti bersesuaian dengan keperluan dan perkembangan mereka. Aktiviti bermain dapat menarik minat kanak-kanak untuk terus belajar konsep literasi awal. Apabila kanak-kanak minat untuk terus belajar, mereka memperolehi kemahiran baru dan kemahiran ini dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak pada jangkamasa panjang (Cristie & Roskos 2009, Almon 2004)

Aktiviti bermain adalah penting dalam pengajaran dan pembelajaran terutamanya bahasa. Christie dan Roskos (2009) berpandangan terdapat hubungan aktiviti bermain dengan persekitaran permainan dalam pemupukan kemahiran literasi. Bahan bacaan bertulis dalam ruang permainan misalnya gerai pizza yang diletakkan papan tanda, menu dan nama pekerja akan dapat meningkatkan kemahiran literasi dengan berkesan. Bukti juga turut menunjukkan persekitaran bermain yang diperkayakan dengan kemahiran literasi akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak tentang fungsi perkataan bertulis, keupayaan mengenal perkataan bertulis, keupayaan menggunakan strategi kefahaman seperti memastikan dan membetulkan sendiri perkataan bertulis yang dilihat.

Aktiviti bermain dapat meningkatkan kemahiran bahasa kanak-kanak melalui beberapa cara. Kajian Williamson dan Silvern dalam Cristie dan Roskos (2009) melihat perkaitan naratif antara proses bermain dengan perkembangan literasi mengesan bagaimana permainan fantasi bertema dapat meningkatkan kefahaman bacaan. Hasil kajian mendapati kanak-kanak yang banyak terlibat dengan aktiviti perbualan permainan meta (meta-play) semasa bermain dapat memahami jalan cerita dengan lebih baik berbanding dengan kanak-kanak yang kurang terlibat aktiviti permainan. Arce (2000) berpandangan bermain benar-benar berlaku apabila kanak-kanak memilih sendiri aktiviti persekitaran yang sesuai dan terdapat pilihan. Oleh itu, kanak-kanak seharusnya diberikan masa yang secukupnya untuk bermain dan bagi mereka dapat menyerap apa yang mereka belajar, mereka seharusnya diberi kebebasan bermain. Apabila kanak-kanak bermain dengan bebas, mereka memilih sendiri apa, bagaimana, dengan siapa dan berapa lama mereka hendak melakukan permainan mengikut kemampuan mereka.

Neuman dan Copple (2004) melihat hubungan bermain dengan kemahiran literasi yang melibatkan simbol, struktur bunyi dan bahan bercetak. Kemahiran bahasa dan literasi dapat dipupuk melalui permainan bunyi bahasa, simbol-simbol dan konsep bahan bercetak. Cristie dan Roskos (2009) juga berpendapat kebanyakan kanak-kanak mampu mengenalpasti perkataan bertulis semasa mereka bermain. Pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui bermain jelas dapat meningkatkan kemahiran bahasa dan literasi kanak-kanak. Persekitaran yang dimanipulasikan, permainan bertema, permainan fantasi dan aktiviti bebas adalah antara permainan bahasa yang berupaya meningkatkan perkembangan bahasa kanak-kanak. Walau bagaimanapun, semasa proses bermain,  kanak-kanak perlu bersosial dan berinteraksi dengan individu lain seperti rakan sebaya atau orang dewasa seperti pengasuh, guru dan ibu bapa untuk bermain. Tanpa rakan sebaya dan individu lain, kemahiran komunikasi kanak-kanak tidak akan berlaku apatah lagi untuk berkembang dengan berkesan.

No comments:

Post a Comment